Monday, December 8, 2008

Pendidikan Anak-anak Menurut Pandangan Islam (II)

>Musibah & Bala


Musibah dan bala merupakan sunnatullah, hukum alam dan hukum kehidupan yang ditetapkan Allah di dunia ini. Cubaan ini diturunkan berupa kemiskinan, penyakit, rasa cemas dan takut, kekurangan harta, kematian keluarga dan orang yang disayangi, tertimpa runtuhan, dilanda banjir dan gempa, kekurangan makanan dan minuman, tidak memiliki tempat tinggal dan segala keadaan yang menurut zahir tidak disukai manusia. Firman Allah yang bermaksud “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan darpada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. Puncak dari segala musibah dan bencana yang menimpa manusia adalah kematian. Tetapi tanpa ada bencana pun, manusia tetap mati, kembali kepada Allah. Mereka tidak dapat menghindar dari kematian yang bakal menjemput. “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan” Pada hakikatnya semua yang ada dalam kehidupan ini merupakan cubaan dan ujian dari pada Allah terhadap manusia. Jangan anggap cubaan itu hanya berupa hal-hal atau kejadian yang tidak disenangi, malah hal-hal yang disenangi manusia seperti kegembiraan, kekayaan, tempat tinggal, kenderaan serta kehidupan yang serba mewah juga adalah ujian Allah terhadap hambaNya. Bahkan ramai yang kuat dan sabar ketika menghadapi ujian kesusahan dan kepayahan seperti kemiskinan tetapi mereka tidak dapat melawan ketika diuji dengan ujian kesenangan seperti kekayaan dan kemewahan. Mereka bersikap kikir dan bakhil serta enggan bersedekah. Na ‘udzu billah min zhalik! Kerana itulah seorang sahabat yang masyhur, Ibnu Abbas (r.a) berkata tentang ayat di atas, “Kami (Allah) menguji kamu sekalian dengan kesulitan dan kemudahan, kesihatan dan penyakit, kekayaan dan kemiskinan, halal dan haram, ketaatan dan kedurhakaan, hidayah dan kesesatan”. Yang penting adalah bagaimana sikap kita terhadap ujian dan cubaan ini. Firman Allah: “Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat)”

Sabar

Satu-satunya sikap yang perlu ada di dalam diri seseorang ketika ditimpa musibah dan hal-hal yang tidak menyenangkan adalah sabar. Memang mudah mengucapkan perkataan sabar namun amat berat untuk memikulnya. Bagi membentuk dan memupuk sikap sabar, seseorang memerlukan iman sebagai landasan. Maksud iman di sini adalah iman kepada Allah, percaya bahawa Dia yang menciptakan semua selok belok kehidupan manusia, lebih mengetahui apa yang Dia ciptakan, dan bahawa semua kejadian dan perkara merupakan ketetapan Nya. Ertinya ketika seseorang memiliki iman yang mantap, maka musibah sebesar manapun akan dihadapi dengan sabar dan pasrah kepada kehendak Allah. Daripada Shuhaib (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya merupakan kebaikan dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi orang mukmin. Jika dia mendapat kegembiraan, maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya dan jika dia mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan ini merupakan kebaikan baginya Sabar bukan bererti berpeluk tubuh, duduk diam mengenang nasib tetapi harus diimbangi dengan usaha, aktif melakukan apa saja yang dapat dilakukan, menjaga diri dari hal-hal yang tidak baik, berdoa dan bermohon kepada Allah. Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Dan barangsiapa yang menjaga dirinya daripada hal-hal yang hina, maka Allah akan menjaga dirinya dari hal-hal yang hina. Barangsiapa memohon kecukupan, maka Allah memberinya kecukupan. Barangsiapa berusaha sabar, maka Allah memberinya kesabaran. Dan seseorang tidak diberi suatu pemberian yang lebih baik dan lebih lapang selain daripada kesabaran. Tidak wujud kesabaran yang lebih nikmat selain daripada iman dan percaya bahawa semua kejadian dalam hidup ini sudah menjadi ketetapan dan keputusan Allah yang diimbangi dengan kepasrahan kepada Nya semata-mata. Firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kamu sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kamu. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kamu, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal” “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”

Musibah Adalah Penghapus Dosa Dan Kesalahan

Musibah dalam bentuk apa pun pasti tidak senang mengikut ukuran kehidupan di dunia. Tetapi tidak ada kehidupan melainkan pasti ditimpa musibah, samada kecil atau besar. Namun apa juga bentuk musibah yang ditimpa ke atas seseorang hamba itu hanyalah sebagai penghapus dosa, kesalahan-kesalahan digugurkan dan darjatnya ditinggikan. Daripada Abu Hurairah (r.a), Rasulullah (s.a.w) berabda: “Tidaklah seorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kekhuatiran, kesusahan, gangguan, kesedihan walaupun hanya sebatang duri yang menusuknya melainkan Allah menghapus sebahagian dari pada kesalahan-kesalahannya” Daripada Aisyah (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Tidaklah seorang mukmin tertusuk duri atau yang lebih kecil dari duri melainkan ditetapkan baginya satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu kesalahan” Daripada Abdullah (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Dan tidaklah seorang mukmin itu terjangkit sesuatu penyakit melainkan kesalahan-kesalahannya digugurkan daripadanya sebagaimana daun pepohon yang berguguran”

Tenggelam Adalah Mati Syahid

Rasulullah (s.a.w) pernah menguji para sahabat dengan satu persoalan, “Apa yang kalian tahu tentang orang yang mati syahid? Para sahabat menjawab, “iaitu orang yang mati terbunuh di medan perang”. Daripada Jabir bin Atik, Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Apa anggapan kalian tentang mati syahid? Para sahabat menjawab: Iaitu mati di jalan Allah. Baginda bersabda: Mati syahid itu ada tujuh macam selain mati terbunuh di jalan Allah iaitu orang yang dibunuh adalah mati syahid, orang yang tenggelam mati syahid, orang yang mati kerana luka dibahagian lambung (perut) adalah syahid, orang yang mati terkena runtuhan bangunan adalah mati syahid dan wanita yang mati dalam keadaan hamil atau melahirkan adalah mati syahid.

Jangan Mencela Penyakit atau Musibah

Apabila ditimpa musibah seseorang itu perlu bersabar dan tidak boleh mencela, mencaci atau marah-marah kerananya apalagi sampai mengeluarkan perkataan seperti umpatan atau kemarahan yang ditujukan kepada Zat yang menurunkan musibah itu, yakni Allah. Daripada Jabir bin Abdullah (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Janganlah kamu mencela sakit demam kerana ia menghapuskan kesalahan-kesalahan Bani Adam sebagaimana tungku api yang melenyapkan karat besi”.

Allah Tidak Zalim, Allah Tidak Murka

Apabila terkena musibah, jangan sampai terfikir oleh kita bahawa Allah tidak adil, kejam, pilih kasih. Kita tetap harus yakin bahawa Allah Maha Adil dengan ketetapan Nya, Maha Bijaksana dengan takdir Nya, bahawa Allah tidak zalim dan tidak menganiaya hambaNya. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itu yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri” Daripada Abu Hurairah (r.a) Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Tatkala Allah menciptakan makhluk, maka Dia menetapkan di dalam kitabNya, sedang Dia berada di atas Arsy, ‘Sesungguhnya Rahmat Ku mengatasi Kemurkaan Ku’”.

Berbaik Sangka Terhadap Allah Dan Selalu Berzikir Kepada Nya

Salah satu tanda kita berbaik sangka terhadap Allah adalah apabila wujud keyakinan bahawa Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Sebagai hamba kita tidak mengetahui apa keadilan atau ketidak zaliman Allah terhadap kaum yang ditimpa musibah. Yang pasti, semua yang Dia tetapkan mengandungi hikmah. Daripada Mahmud bin Labid (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menurunkan bencana kepada mereka. Siapa yang sabar, maka dia akan mendapat pahala kesabaran, dan siapa yang bersedih maka dia sendiri yang menanggung akibat kesedihannya” .

Orang Mukmin Yang Kuat Imannya Lebih Besar Cubaannya

Para sahabat dihadapkan dengan berbagai ujian dan cubaan. Ada yang digergaji tubuhnya sehingga terbelah dua, ada yang dimasukkan ke dalam parit dan dibakar. Mereka itu adalah orang yang kuat imannya sehingga cubaan dan musibah yang menimpa mereka juga lebih berat. Terlebih lagi para nabi dan rasul. Daripada Mush’ab bin Sa’ad, dari pada ayahnya dia berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berat bala’nya? Maka beliau menjawab:”Para nabi, kemudian yang seperti mereka, kemudian yang seperti mereka. Seseorang diberi bala bergantung pada agamanya. Jika agamanya kuat, maka balanya lebih kuat. Jika dalam agamanya ada kelemahan, maka dia akan diberi bala menurut agamanya. Bala senantiasa menimpa hamba hingga meninggalkannya berjalan di muka bumi sementara dia tidak lagi memiliki satu kesalahan pun”

Jangan Katakan ‘Jikalau’

“Jikalau musibah yang kami alami ini menimpa bangsa lain, jikalau bencana yang kami alami ini terjadi ditempat lain dan jikalau bukan kami yang mengalami musibah dan bencana ini...” Jangan ucapkan perkataan seperti di atas kerana perkataan “jikalau” akan menjadi pintu masuk bagi syaitan dan hal itu sama sekali tidak mencerminkan orang beriman yang percaya kepada qadha dan qadar Allah iaitu rukun iman yang keenam. Ucapan “jikalau” hanya akan melemahkan dan meruntuhkan semangat untuk bangkit kembali. Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang mukmin yang lemah. Dalam segala sesuatu ada kebaikan. Carilah apa-apa yang mendatangkan manfaat bagimu dan mohonlah kepada Allah dan jangan menjadi lemah. Jika ada sesuatu yang menimpa mu, maka jangan katakan “jikalau aku berbuat begini dan begitu tapi katakan; ini adalah takdir Allah dan apa pun yang Dia kehendaki, maka Dia mampu mengerjakannya kerana perbuatan “jikalau” adalah membuka perbuatan syaitan”.

Jangan Putus Asa

Putus asa merupakan sifat yang dibenci Allah dan Rasul Nya, sebesar apa pun musibah yang menimpa. Daripada Anas bin Malik (r.a), Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan mati kerana sesuatu kesulitan yang menimpa. Kalaulah dia harus melakukan yang seperti itu, maka hendaklah dia ucapkan: ‘Ya Allah, hidupkanlah aku selagi hidup itu merupakan kebaikan bagiku dan matikanlah aku selagi mati itu lebih baik bagi ku”.

Doa Pada Saat Ditimpa Kesusahan Dan Kesulitan

Selain daripada usaha yang mesti dilakukan ketika menghadapi musibah serta mencari jalan keluar, maka sebagai orang mukmin dan muslim, kita harus kembali kepada Allah serta memanjatkan doa kepada Nya, kerana doa merupakan kekuatan orang mukmin. Di bawah ini dipaparkan doa-doa yang boleh diucapkan ketika ditimpa musibah. Daripada Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) pernah berkata ketika kesusahan: “Tiada Tuhan selain Allah, yang Maha Agung lagi Maha Pemurah. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan Arasy yang agung. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan Tuhan bumi, Tuhan Arsy yang mulia.” (H.R Al-Bukhari) Daripada Anas bin Malik (r.a) “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kekhuatiran dan kesedihan, kelemahan dan kemalasan, kekikiran dan lemah hati, kecondongan kepada hutang dan paksaan orang lain” Doa orang yang ditimpa kesusahan adalah, “Ya Allah, Rahmat Mu yang ku harapkan, maka janganlah Engkau sandarkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata dan perbaikilah bagiku keadaanku semuanya, tiada Tuhan selain Engkau” [H.R Ahmad (hadis hassan), Abu Daud] “Wahai yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri sendiri, dengan Rahmat Mu aku memohon pertolongan” (H.R. Tarmidzi) “Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (di hari Kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah untukku dengan yang lebih baik (dari musibahku)”


Sumber: http://www.al-nidaa.com.my/upload/File/buletin/buletin21.pdf